|
|
Perjuangan Kumpulan Ikram untuk mencapai Strategi 10-tahunnya yang dilancarkan awal tahun 2007, telah maju setapak lagi dengan pelancaran kempen nilai-nilai teras syarikat (Company Core Values Campaign) pada 9 Julai 2008.
Sebagai sesuatu yang asasi dalam merealisasikan kejayaan Strategi ini, penerapan nilai-nilai teras adalah amat penting terutamanya bagi cabang transformasi sumber manusia (People Transformation), salah satu antara tiga cabang utama Rangka Transformasi KISB (KISB Transformation Framework) ini.
Majlis pelancaran kempen tersebut telah berlangsung di Dewan Serbaguna Ikram. Ia telah dirasmikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Ikram sendiri, YBhg Dato’ Chong Ket Pen dan dihadiri oleh semua warga Ikram. Sebagai acara pembuka tirai kepada kempen yang akan berlangsung selama tiga bulan ini, semua yang hadir telah disajikan dengan satu ceramah berbentuk informatif bertemakan ‘kualiti’ oleh Ir Tan Swe Kee daripada ITiDi.
Melalui kempen ini, nilai-nilai teras Kumpulan Ikram yang terbahagi kepada tiga nilai utama iaitu Kualiti (Quality), Perkongsian (Sharing) dan Keperihatinan (Caring) akan diterapkan kepada semua warga Ikram secara berperingkat. Setiap bulan selama kempen ini berjalan akan menekankan satu nilai utama dan cabang-cabangnya. Dengan ini, bulan Julai akan membawa fokus pada nilai Kualiti, Ogos pada nilai Perkongsian dan September (yang kebetulannya jatuh pada bulan Ramadhan) pada nilai Keperihatinan.
Selama kempen ini berjalan, warga Ikram juga diingatkan agar menyematkan ‘button badges’ atau pin butang yang membawa petikan inspirasi berasaskan setiap nilai-nilai teras syarikat. Disamping itu, terdapat juga ceramah-ceramah membina dan bermotivasi, yang akan disampaikan oleh penceramah dan ahli motivasi terkemuka di Malaysia, yang telah diaturkan bagi meningkatkan pemahaman dan penerapan nilai-nilai tersebut kepada warga Ikram.
Semoga, melalui kempen ini, para pekerja akan lebih prihatin terhadap setiap perilaku mereka sebagai seorang ahli warga Kumpulan Ikram untuk mencapai strategi transformasi sumber manusia syarikat menuju mentaliti warga kelas pertama.
Bersama-samalah kita menjayakannya.
